PERJANJIAN DAMAI MARUDI 1899


Add caption
 Sejarah Baram Regatta


Regatta Sarawak mungkin sudah sinonim dengan pelancong malah rakyat Sarawak sendiri tetapi mungkin ada lagi yang masih tidak mengetahui terdapat satu lagi regatta atau pertandingan perahu panjang di sebuah daerah terpencil nun di utara Sarawak iaitu Regatta Baram. Hakikatnya Regatta Baram ini yang sering diadakan pada setiap 3 tahun sekali pada 6 April merupakan satu regatta yang amat bersejarah di dalam kalendar Sarawak Bumi Kenyalang iaitu ianya berkaitan secara langsung di dalam Sejarah Negara Sarawak suatu waktu dahulu. 

Kira-kira 114 tahun yang dahulu telah terukir satu sejarah di sebuah negara yang diperintah oleh Rajah Brooke yang bernama Negara Sarawak atau Kingdom of Sarawak. Pada waktu itu sebenarnya banyak terdapat pertelingkahan di antara kaum di Daerah Baram terutama sekali tentang adat memotong kepala sehingga ianya banyak menimbulkan ketegangan di antara kaum-kaum yang menghuni di Daerah Baram pada ketika itu. Pada ketika itu Rajah Brooke telah menghantar seorang petugas Eropah untuk bersama-sama menjadi pentadbir di Daerah Baram. Beliau adalah Residen Pertama Daerah Baram iaitu Claude de Crespigny. Bersama-sama dengan beliau telah dihantar bersama dua pegawai berpangkat rendah dan juga sepasukan 30 orang askar dan juga beberapa orang anggota polis yang terdiri daripada anak jati daripada kaum etnik di Baram. Pada ketika ini pusat pemerintahan jajahan Baram adalah di Claudetown iaitu nama lama bagi pekan Marudi sekarang. Umum mengetahui bahawa pentadbiran Brooke sememangnya menghalang sekeras-kerasnya adat memotong kepala di Sarawak sehingga awal-awal lagi Rajah James Brooke telah mengharamkannya sejak tahun 1840an lagi namun begitu bukannya senang untuk mengharamkan satu adat yang sudah dilakukan sejak berkurun lamanya. Jadi penghantaran seorang Residen Eropah ke Daerah Baram merupakan satu titik tolak ke arah jalan perdamaian di daerah tersebut.

Seperti yang diketahui, apabila berlakunya pertukaran pentadbiran sudah tentu ramai yang tidak menyenanginya dan ini termasuklah kedatangan Claude de Crespigny ke jajahan Baram pada waktu itu. Untuk beberapa tahun yang pertama sememangnya Residen Claude ini tidak mudah menjalankan tugasannya sebaliknya adakalanya nyawanya sendiri yang terancam tetapi pantang berputus asa, Residen Claude tetap meneruskan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Tuan Rajah kepadanya. Akhirnya pentadbiran ini dapat diterima oleh penduduk tempatan iaitu bermula daripada Kaum Kayan yang merupakan etnik dominan di Daerah Baram pada waktu itu. Kaum Kayan melalui ketua kaum mereka akhirnya bersetuju untuk membayar cukai pintu sebanyak 2 dolar Sarawak setahun kepada pemerintahan Brooke dan ini adalah kemuncak kepada penerimaan kekuasaan Brooke di Daerah Baram. Setelah kaum Kayan menerima kedatangan pemerintahan Brooke maka barulah etnik-etnik yang lain seperti Iban, Kenyah, Lirong dan Madang juga membuat perkara yang sama. Sekitar tahun 1884, seorang pegawai kadet daripada Perkhidmatan Awam Negara Sarawak iaitu Charles Hose telah dihantar untuk membantu pentadbiran di Baram. Charles Hose dengan jiwa yang kental telah beberapa kali mengelolakan satu mesyuarat yang dipanggil Majlis Pengaman. Majlis Pengaman ini dibuat bagi mencari jalan perselesaian tentang pertelingkahan antara kaum di Daerah Baram dan majlis ini seringkali diadakan di Kubu Hose sekitar tahun 1899. Hasil daripada kesungguhan serta kerjasama daripada semua ketua kaum inilah maka termeterailah sebuah perjanjian perdamaian telah ditandatangani di Marudi yang dikenali sebagai Perjanjian Perdamaian 1899 yang mana ianya telah dimeterai oleh semua ketua kaum di Daerah Baram.

Pada 9 April 1899 bagi menandakan kejayaan perjanjian perdamaian ini maka telah diadakan satu pertandingan perahu panjang di Baram yang pendayung-pendayungnya adalah daripada kaum-kaum di Daerah Baram dan inilah yang dikenali sebagai REGATTA BARAM sekarang. Regatta ini telah berjaya memupuk semangat setiakawan dan perpaduan diantara kaum ini yang selama ini sering bertelingkah. Sejarah regatta Baram ini adalah sesuatu yang penting di dalam mengarah kepada perpaduan serta penghidupan yang stabil di Negara Sarawak pada waktu itu dan akhirnya ianya menjadi pendorong kepada kestabilan dan keharmonian kepada penduduk Sarawak Bumi Kenyalang sekarang. Inilah salah satu sejarah di dalam kalendar Sarawak Bumi Kenyalang yang tidak begitu diketahui umum oleh kita generasi rakyat Sarawak.

Diharap artikel sejarah ini dapat memberikan sedikit ruang informasi kepada rakyat Sarawak, Bangsa Sarawak untuk lebih menyayangi kesatuan yang kita ada kerana walau dalam apa bentuk samada di dalam sukan sekalipun, generasi terdahulu Bangsa Sarawak telah bersusah payah memastikan yang bumi Sarawak ini aman dan harmoni. Inilah yang wajar kita pertahankan sehingga ke titisan yang terakhir kerana tiada siapa yang lebih menyayangi tanahair yang tercinta jika tidak kita, BANGSA SARAWAK.

Comments